Jumaat, 28 Jun 2013

5 WASIAT RASULULLAH

Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam aku diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya : -

1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :-

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.

3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.

4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.

5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.

7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."


SEPULUH SIFAT HATI YANG TERCELA

1. Takabbur
Takabbur, membesarkan diri, Rasulullah s.a.w ada bersabda dalam suatu hadis Qudsi.

"Kebesaran, ketinggian itu selindangKu, keagungan itu kain pakaiKu, maka sesiapa yang cuba merebut (bersifat dengan) salah satu dari keduanya, Aku akan campakkan dia ke dalam neraka jahanam, Aku tidak peduli. (Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah).Hadis ini bermaksud ketinggian dan keagungan hakiki itu dua sifat kepunyaan Allah Ta'ala, tidak layak bagi selainnya, orang yang demikian sifatnya memang sesuai dilemparkan kedalam neraka jahanam.

Bagi mengelakkan diri dari sifat takabbur, hendaklah :
  1. mengingatkan bahawa segala kelebihan dan nikmat yang dimilikinya seperti harta, pangkat, ilmu dan sebagainya, semuanya adalah dari kurnia Allah dan nikmatnya yang wajib disyukuri, bukan untuk dimegahkan.
  2. Jangan menolak kebenaran, kerana sesuatu yang benar itu dari Allah.
  3. Jangan melekeh / merendah-rendahkan orang lain, kerana yang sebenar-benar mulia ialah yang paling bertakwa.
2. Hasad Dengki
Hasad dengki : Iaitu bercita-cita mahu supaya hilang nikmat dari orang lain. Nabi s.a.w bersabda : "Jangan dengki setengah kamu akan setengah, dan jangan memutuskan silaturrahim, dan jangan marah-memarahi sesama kamu (benci-membenci) dan jangan membelakangkan setengah kamu akan setengah pada ketika berjumpa, bahkan hendaklah kamu bersaudara wahai hamba-hamba Allah". (Bukhari, Muslim) 

3. Marah 
Seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w. katanya : "Perintahkan daku sesuatu pekerjaan dan mohon di sedikitkan perintah itu". Maka Nabi s.a.w bersabda : "Jangan engkau marah". Lelaki itu mengulangi lagi permintaannya, maka Rasulullah mengulangi sabdanya : "Allah telah memuji orang yang dapat menahan marahnya sebagaimana firmannya di dalam Al-Quran : "Orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafi kesalahan orang". Sabda Nabi s.a.w : "Sesiapa yang menahan marahnya yang mana jika ia bertindak nescaya dipenuhi Allah hatinya dengan keamanan dan keimanan pada hari qiamat".(Abu Daud)

4. Bakhil dan Kasihkan Harta
Firman Allah Ta'ala :
" Sesiapa yang dipeliharakan Allah dirinya dari sifat kikir (bakhil) maka merekalah orang yang berjaya (mendapat kemenangan)"(Al-Taghaabun : 16).


Nabi s.a.w bersabda :
" Tiga perkara yang menjadi sebab kebinasaan - sifat bakhil kedekut yang dituruti, keinginan hawa nafsu yang diikuti dan seseorang mengkagumi dirinya".(Al-Tabaraani)
Ingatlah orang bakhil itu - akan mendapat seksa Allah, dicela manusia di dunia, harta tidak akan bersama di dalam kubur, harta adalah kepunyaan Allah Ta'ala, diberikan kepada manusia untuk kegunaan sebagai alat kemudahan, untuk dibelanjakan di jalan kebaikan, ianya dari tanah dan akan kembali ke tanah, kalau seseorang itu bakhil kerana dicadangkan untuk anaknya, seolah-olah ia meninggalkan anaknya dalam kebaikan dan ia datang mengadap Tuhan dengan kejahatan, ini adalah tindakan yang bodoh, ingatlah bahawa harta adalah yang mesti digunakan bagi mencapai keredhaan Allah.

5. Cintakan Kemegahan
Cintakan kemegahan adalah punca kebinasaan.

Firman Allah Ta'ala :
"Kebahagiaan di negeri akhirat itu kami sediakan bagi orang-orang yang tidak hendakkan ketinggian di muka bumi dan tidak mahukan berlakunya kerosakan, akibat yang baik adalah bagi orang-orang bertakwa".(Al-Qasas : 83)


Ayat di atas menerangkan bahawa orang yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat ialah mereka yang suci hatinya daripada menghendaki dua perkara yang tersebut, dan termasuk di dalam 'ketinggian' itu ialah kemegahan.
Tidak menghendaki kemegahan bukan bermakna menolak segala jawatan dan dari menjadi pemerintah, yang dilarang ialah bermegah-megah dengan jawatan dan kuasa yang diberi, kerana seseorang yang diberi jawatan itu adalah memikul tanggungjawab dan amanah dalam menyempurnakan tugas-tugas yang dipikul keatasnya, ia tidak ada kelebihan dari orang lain, masing-masing memikul tugas dan tanggungjawab, yang paling baik ialah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dengan jujur dan ikhlas, lihat, Yusuf a.s meminta supaya diberi jawatan menteri (pertanian / perbendaharaan), negeri menjadi makmur di masa beliau memegang jawatan. Apa yang menjadi hasrat dan cita-cita ialah menyempurnakan tanggungjawab di dalam menuju keredhaan Allah Ta'ala, dengan tetap mematuhi dan melaksanakan titah perintah Allah Ta'ala.

6. Cintakan Dunia
Dimaksudkan dengan dunia di sini ialah sesuatu yang tidak memberi manafa'at selepas mati.

Firman Allah Taala :
"Adapun orang-orang yang melanggar batas-batas hukum dan mengutamakan kepentingan hidup dunia (dengan mengikut keinginan yang diharamkan) maka di neraka jahimlah tempat kediamannya. Adapun orang-orang yang takutkan kebesaran Tuhannya lalu menahan diri dari mengikut hawa-nafsunya (dengan selalu berada di dalam batas-batas ketaatan kepadahukum Allah dan Rasulnya) maka di syurgalah tempat menetapnya". (An-Naazia'at : 37 - 41)


Sabda Nabi s.a.w :
"Kasihkan dunia itu kepala segala kejahatan. Kehidupan dan kesenangan di dunia adalah sementara, kehidupan dan kesenangan di akhirat adalah kekal, dunia tempat berusaha bagi mencapai kebahagiaan di akhirat". (Al Baihaqi)
Keduniaan banyak daya penariknya, sesiapa yang lemah imannya akan terpikat dengan keindahannya lalu mencintainya. Maka lupalah ia kepada Allah dan akhirat yang kesemua orang kembali kepadanya.

7. Mengkagumi Diri
Iaitu menganggap dan merasakan dirinya lebih dari orang lain, seperti membanggakan dirinya lebih berilmu, lebih banyak ibadat dan sebagainya, tanpa bimbangkan kehilangan perkara-perkara tersebut dan melupakan yang ianya pemberian dari Allah Taala kepadanya. Mengkagumi diri ini adalah punca takabbur.
Sifat mengkagumi diri ini suatu kelakuan hati yang sangat berbahaya dan tercela, ia membinasakan pahala ibadat, dan menghilangkan pertolongan Allah Taala.

Firman Allah Taala :
"Ingatlah peristiwa hari peperangan Hunain, yang mana kamu merasa bilangan kamu cukup ramai (lalu kamu memandang lekeh / gampang kepada kekuatan musuh kamu hingga kamu dikalahkan), anggapan kamu itu tidak menolong kamu sedikitpun". (At-Taubah : 25)


8. Ria'
Memperlihatkan amalan kepada manusia - sama ada bertujuan mahukan pangkat di dalam hati manusia atau mahukan manafaat keduniaan dengan amal ibadatnya seperti mahukan upah atau kepujian. Ria' adalah haram, dan di namakan juga - syirik kecil (tersembunyi).
Firman Allah Taala :
"Maka kecelakaanlah bagi ahli-ahli sembahyang yang mereka itu lalai dari menyempurnakan sembahyangnya, iaitu mereka yang ria'". (Al-Maa'uun : 4 - 6)


Sabda Nabi s.a.w :
"Bahawa sesuatu yang paling aku takuti berlaku atas kamu ialah syirik kecil iaitulah Ria', yang mana pada hari kiamat Allah akan berkata kepada orang-orang yang Ria' semasa di dunia ketika Allah memberi balasan kepada mereka. Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu tunjukkan amalan kepadanya semasa di dunia, adakah kamu kan dapati apa-apa balasan di sisi mereka?". (Ahmad)


Sebab-sebab menimbulkan Ria' ialah :
  1. Suka dipuji
  2. Takut dicela
  3. Tamakkan harta
Maka bagi menghilangkan Ria', hendaklah dihilangkan penyebabnya, hendaklah diingat bahawa suka dipuji, takut dicela dan tamakkan harta itu merupakan racun yang membinasakan pahala amalnya, ingatlah bahawa Allah yang memberi ganjaran bukan manusia.

9. Luba Makanan / Lahap Makanan
Luba makanan adalah antara punca segala kejahatan, kerana perut itu tempat keluar bagi segala keinginan, daripadanya terjadi keinginan faraj dan membawakan luba harta, dari inginkan dengan kemegahan senang mendapat harta, dari situ terbit pula sifat Ria', Takabbur, Dengki dan berseteru.

Sabda Nabi s.a.w :
"Tiada memenuhkan manusia suatu bekas yang lebih berbahaya dari perutnya, adalah cukup bagi seseorang makan beberapa suap yang boleh membetulkan tulang belakangnya...maka jika tak dapat tidak maka bolehlah ditambah kadar sepertiga, bagi minumannya sepertiga dan sepertiga bagi pernafasan". (Ahmad dan Tarmizi)


10. Banyak Bercakap
Banyak bercakap itu suatu sifat yang tercela, bila banyak bercakap akan terkeluar dari mulutnya perkataan yang sia-sia, perkataan yang sia-sia itu menyebabkan gelap hati, malahan membawa kepada mati hati.

Sabda Nabi s.a.w :
"Tiada yang menyebabkan manusia tersembam muka mereka ke dalam neraka, melainkan dosa yang dihasilkan oleh lidah mereka". (Tarmizi)


"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia bercakap baik-baik atau berdiam diri". (Bukhari dan Muslim)

Pada ketika hendak bercakap perkara yang sia-sia, hendaklah difikirkan bahawa jika kita menyebut Allah Taala - berzikir, berselawat, beristighfar, bertahlil, bertahmid, bertaqdis, berdoa dan sebagainya, ganti daripadaperkataan yang tidak berfaedah itu kita mendapat untung yang sangat besar, keran berzikir itu umpama sepotong emas dan perkataan yang tidak berfaedah itu ibarat seketul tanah keras (perkataan yang tidak membawa dosa), maka sekiranya perkataan yang diucapkan itu mengandungi dosa, maka ianya umpama sepotong api.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan