5 WASIAT RASULULLAH
Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam aku diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya : -
1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.
3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.
4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.
5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.
Ibrahim
bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan
saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada
mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat
saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :-
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."
SEPULUH SIFAT HATI YANG TERCELA
1. Takabbur
Takabbur, membesarkan diri, Rasulullah s.a.w ada bersabda dalam suatu hadis Qudsi.
"Kebesaran,
ketinggian itu selindangKu, keagungan itu kain pakaiKu, maka sesiapa
yang cuba merebut (bersifat dengan) salah satu dari keduanya, Aku akan
campakkan dia ke dalam neraka jahanam, Aku tidak peduli. (Muslim, Abu
Daud dan Ibnu Majah).Hadis ini bermaksud ketinggian dan
keagungan hakiki itu dua sifat kepunyaan Allah Ta'ala, tidak layak bagi
selainnya, orang yang demikian sifatnya memang sesuai dilemparkan
kedalam neraka jahanam.
Bagi mengelakkan diri dari sifat takabbur, hendaklah :
- mengingatkan bahawa segala kelebihan dan nikmat yang dimilikinya seperti harta, pangkat, ilmu dan sebagainya, semuanya adalah dari kurnia Allah dan nikmatnya yang wajib disyukuri, bukan untuk dimegahkan.
- Jangan menolak kebenaran, kerana sesuatu yang benar itu dari Allah.
- Jangan melekeh / merendah-rendahkan orang lain, kerana yang sebenar-benar mulia ialah yang paling bertakwa.
2. Hasad Dengki
Hasad dengki : Iaitu bercita-cita mahu supaya hilang nikmat dari orang lain. Nabi s.a.w bersabda : "Jangan
dengki setengah kamu akan setengah, dan jangan memutuskan silaturrahim,
dan jangan marah-memarahi sesama kamu (benci-membenci) dan jangan
membelakangkan setengah kamu akan setengah pada ketika berjumpa, bahkan
hendaklah kamu bersaudara wahai hamba-hamba Allah". (Bukhari, Muslim)
3. Marah
Seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w. katanya : "Perintahkan daku sesuatu pekerjaan dan mohon di sedikitkan perintah itu". Maka Nabi s.a.w bersabda : "Jangan engkau marah". Lelaki itu mengulangi lagi permintaannya, maka Rasulullah mengulangi sabdanya : "Allah telah memuji orang yang dapat menahan marahnya sebagaimana firmannya di dalam Al-Quran : "Orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafi kesalahan orang". Sabda Nabi s.a.w :
"Sesiapa yang menahan marahnya yang mana jika ia bertindak nescaya
dipenuhi Allah hatinya dengan keamanan dan keimanan pada hari
qiamat".(Abu Daud)
4. Bakhil dan Kasihkan Harta
Firman Allah Ta'ala :
"
Sesiapa yang dipeliharakan Allah dirinya dari sifat kikir (bakhil) maka
merekalah orang yang berjaya (mendapat kemenangan)"(Al-Taghaabun : 16).
Nabi s.a.w bersabda :
"
Tiga perkara yang menjadi sebab kebinasaan - sifat bakhil kedekut yang
dituruti, keinginan hawa nafsu yang diikuti dan seseorang mengkagumi
dirinya".(Al-Tabaraani)
Ingatlah orang bakhil itu - akan
mendapat seksa Allah, dicela manusia di dunia, harta tidak akan bersama
di dalam kubur, harta adalah kepunyaan Allah Ta'ala, diberikan kepada
manusia untuk kegunaan sebagai alat kemudahan, untuk dibelanjakan di
jalan kebaikan, ianya dari tanah dan akan kembali ke tanah, kalau
seseorang itu bakhil kerana dicadangkan untuk anaknya, seolah-olah ia
meninggalkan anaknya dalam kebaikan dan ia datang mengadap Tuhan dengan
kejahatan, ini adalah tindakan yang bodoh, ingatlah bahawa harta adalah
yang mesti digunakan bagi mencapai keredhaan Allah.
5. Cintakan Kemegahan
Cintakan kemegahan adalah punca kebinasaan.
Firman Allah Ta'ala :
"Kebahagiaan
di negeri akhirat itu kami sediakan bagi orang-orang yang tidak
hendakkan ketinggian di muka bumi dan tidak mahukan berlakunya
kerosakan, akibat yang baik adalah bagi orang-orang bertakwa".(Al-Qasas :
83)
Ayat di atas menerangkan bahawa orang yang akan
mendapat kebahagiaan di akhirat ialah mereka yang suci hatinya daripada
menghendaki dua perkara yang tersebut, dan termasuk di dalam
'ketinggian' itu ialah kemegahan.
Tidak menghendaki kemegahan
bukan bermakna menolak segala jawatan dan dari menjadi pemerintah, yang
dilarang ialah bermegah-megah dengan jawatan dan kuasa yang diberi,
kerana seseorang yang diberi jawatan itu adalah memikul tanggungjawab
dan amanah dalam menyempurnakan tugas-tugas yang dipikul keatasnya, ia
tidak ada kelebihan dari orang lain, masing-masing memikul tugas dan
tanggungjawab, yang paling baik ialah melaksanakan tugas dengan
sebaik-baiknya dengan jujur dan ikhlas, lihat, Yusuf a.s meminta supaya
diberi jawatan menteri (pertanian / perbendaharaan), negeri menjadi
makmur di masa beliau memegang jawatan. Apa yang menjadi hasrat dan
cita-cita ialah menyempurnakan tanggungjawab di dalam menuju keredhaan
Allah Ta'ala, dengan tetap mematuhi dan melaksanakan titah perintah
Allah Ta'ala.
6. Cintakan Dunia
Dimaksudkan dengan dunia di sini ialah sesuatu yang tidak memberi manafa'at selepas mati.
Firman Allah Taala :
"Adapun
orang-orang yang melanggar batas-batas hukum dan mengutamakan
kepentingan hidup dunia (dengan mengikut keinginan yang diharamkan) maka
di neraka jahimlah tempat kediamannya. Adapun orang-orang yang takutkan
kebesaran Tuhannya lalu menahan diri dari mengikut hawa-nafsunya
(dengan selalu berada di dalam batas-batas ketaatan kepadahukum Allah
dan Rasulnya) maka di syurgalah tempat menetapnya". (An-Naazia'at : 37 -
41)
Sabda Nabi s.a.w :
"Kasihkan
dunia itu kepala segala kejahatan. Kehidupan dan kesenangan di dunia
adalah sementara, kehidupan dan kesenangan di akhirat adalah kekal,
dunia tempat berusaha bagi mencapai kebahagiaan di akhirat". (Al
Baihaqi)
Keduniaan banyak daya penariknya, sesiapa yang
lemah imannya akan terpikat dengan keindahannya lalu mencintainya. Maka
lupalah ia kepada Allah dan akhirat yang kesemua orang kembali
kepadanya.
7. Mengkagumi Diri
Iaitu
menganggap dan merasakan dirinya lebih dari orang lain, seperti
membanggakan dirinya lebih berilmu, lebih banyak ibadat dan sebagainya,
tanpa bimbangkan kehilangan perkara-perkara tersebut dan melupakan yang
ianya pemberian dari Allah Taala kepadanya. Mengkagumi diri ini adalah
punca takabbur.
Sifat mengkagumi diri ini suatu kelakuan hati
yang sangat berbahaya dan tercela, ia membinasakan pahala ibadat, dan
menghilangkan pertolongan Allah Taala.
Firman Allah Taala :
"Ingatlah
peristiwa hari peperangan Hunain, yang mana kamu merasa bilangan kamu
cukup ramai (lalu kamu memandang lekeh / gampang kepada kekuatan musuh
kamu hingga kamu dikalahkan), anggapan kamu itu tidak menolong kamu
sedikitpun". (At-Taubah : 25)
8. Ria'
Memperlihatkan
amalan kepada manusia - sama ada bertujuan mahukan pangkat di dalam
hati manusia atau mahukan manafaat keduniaan dengan amal ibadatnya
seperti mahukan upah atau kepujian. Ria' adalah haram, dan di namakan
juga - syirik kecil (tersembunyi).
Firman Allah Taala :
"Maka
kecelakaanlah bagi ahli-ahli sembahyang yang mereka itu lalai dari
menyempurnakan sembahyangnya, iaitu mereka yang ria'". (Al-Maa'uun : 4 -
6)
Sabda Nabi s.a.w :
"Bahawa
sesuatu yang paling aku takuti berlaku atas kamu ialah syirik kecil
iaitulah Ria', yang mana pada hari kiamat Allah akan berkata kepada
orang-orang yang Ria' semasa di dunia ketika Allah memberi balasan
kepada mereka. Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu tunjukkan
amalan kepadanya semasa di dunia, adakah kamu kan dapati apa-apa balasan
di sisi mereka?". (Ahmad)
Sebab-sebab menimbulkan Ria' ialah :
- Suka dipuji
- Takut dicela
- Tamakkan harta
Maka
bagi menghilangkan Ria', hendaklah dihilangkan penyebabnya, hendaklah
diingat bahawa suka dipuji, takut dicela dan tamakkan harta itu
merupakan racun yang membinasakan pahala amalnya, ingatlah bahawa Allah
yang memberi ganjaran bukan manusia.
9. Luba Makanan / Lahap Makanan
Luba
makanan adalah antara punca segala kejahatan, kerana perut itu tempat
keluar bagi segala keinginan, daripadanya terjadi keinginan faraj dan
membawakan luba harta, dari inginkan dengan kemegahan senang mendapat
harta, dari situ terbit pula sifat Ria', Takabbur, Dengki dan berseteru.
Sabda Nabi s.a.w :
"Tiada
memenuhkan manusia suatu bekas yang lebih berbahaya dari perutnya,
adalah cukup bagi seseorang makan beberapa suap yang boleh membetulkan
tulang belakangnya...maka jika tak dapat tidak maka bolehlah ditambah
kadar sepertiga, bagi minumannya sepertiga dan sepertiga bagi
pernafasan". (Ahmad dan Tarmizi)
10. Banyak Bercakap
Banyak
bercakap itu suatu sifat yang tercela, bila banyak bercakap akan
terkeluar dari mulutnya perkataan yang sia-sia, perkataan yang sia-sia
itu menyebabkan gelap hati, malahan membawa kepada mati hati.
Sabda Nabi s.a.w :
"Tiada
yang menyebabkan manusia tersembam muka mereka ke dalam neraka,
melainkan dosa yang dihasilkan oleh lidah mereka". (Tarmizi)
"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia bercakap baik-baik atau berdiam diri". (Bukhari dan Muslim)
Pada
ketika hendak bercakap perkara yang sia-sia, hendaklah difikirkan
bahawa jika kita menyebut Allah Taala - berzikir, berselawat,
beristighfar, bertahlil, bertahmid, bertaqdis, berdoa dan sebagainya,
ganti daripadaperkataan yang tidak berfaedah itu kita mendapat untung
yang sangat besar, keran berzikir itu umpama sepotong emas dan perkataan
yang tidak berfaedah itu ibarat seketul tanah keras (perkataan yang
tidak membawa dosa), maka sekiranya perkataan yang diucapkan itu
mengandungi dosa, maka ianya umpama sepotong api.



